Monday 13 June 2011

Penggunaan Teknologi dalam Mengajar Sains di Sekolah Rendah

http://eprints.uthm.edu.my/445/1/Zurina_Yasak_%28Dekan2010%29.pdf

Pembelajaran menggunakan teknologi sering dibahaskan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Penggunaannya di dalam kelas adalah pelengkap kepada penyampaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Kajian ini dijalankan bagi mengetahui kekerapan, kelemahan dan impak penggunaan teknologi di dalam kelas bagi pelajar-pelajar sekolah rendah. Kajian ini dilakukan secara kuantitatif yang mana instrumen yang digunakan adalah borang soal selidik, log penggunaan CD dan borang pemantauan pengajaran dan pembelajaran guru. Seramai 148 orang responden yang terdiri daripada guru-guru sains daripada 18 buah sekolah rendah Zon Johor Jaya Daerah Pasir Gudang diambil. Dapatan menunjukkan bahawa tahap kekerapan penggunaan teknologi masih di tahap sederhana manakala beberapa kelemahanan atau kekangan dikesan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi. Keputusan kajian ini boleh digunakan untuk dibandingkan dengan guru-guru yang mengajar mata pelajaran lain.


Sub tema: Innovasi dalam pendidikan guru

Pengenalan
Perkembangan media elektronik di negara-negara maju adalah didorong oleh kepentingan teknologi maklumat dan ilmu pengetahuan. Impak daripada perkembangan yang menggalakkan ini, komputer tidak lagi dianggap sebagai bahan mewah atau simbol kemewahan tetapi dianggap sebagai satu perkakasan yang menjadi keperluan hidup bagi individu, guru dan masyarakat untuk memperolehi ilmu pengetahuan dan pelbagai maklumat terkini yang amat berguna dalam kehidupan seharian. Toffler (1980) dan Naisbitt (1982) menyatakan bahawa komputer dan perisian telah diberikan gelaran sebagai the wave of the future. Gelaran ini membawa kepada wujudnya istilah Information and Communication Technology (ICT). Semua negara terutamanya negara-negara membangun berlumba-lumba untuk menguasai bidang ICT yang dilihat sebagai satu landasan untuk memperkenalkan negara masing-masing dengan perkongsian maklumat yang lebih cepat dan tepat. Suasana ini menekan mana-mana kerajaan di negara membangun untuk memiliki pekerja-pekerja mahir dalam bidang ICT.
Perubahan ini memaksa bidang pendidikan direncana semula agar dapat memenuhi keperluan negara. Penggunaan teknologi di dalam kelas perlu diberi perhatian sewajarnya. Sekolah-sekolah mula diberikan sejumlah peruntukan untuk membina makmal komputer. Persekitaran pembelajaran mula berubah. Ramai guru dihantar untuk menghadiri kursus bagi memahirkan diri untuk mengendalikan kelas menggunakan bantuan ICT. Hilary (1991) menegaskan bahawa komputer dapat membantu guru melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Kenyataan tersebut memperkukuhkan lagi keperluan guru untuk mempunyai pengetahuan sekurang-kurangnya pada peringkat asas dalam mengendalikan perkakasan dan perisian komputer sebelum mereka dapat menghasilkan kaedah pengajaran yang berkesan dalam bilik darjah.
Banyak kajian menyatakan kebaikan dalam penggunaan komputer dalam kelas, namun tidak semua kajian memberikan hasil dapatan yang positif. Laurillard (1992) menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan komputer akan dapat meningkatkan pemahaman konsep teoritikal. Penggunaan simulasi dan bantuan komputer dapat meningkatkan tahap pemahaman pelajaran dengan mudah.

No comments:

Post a Comment